Search This Blog

Monday, May 21, 2018

Tupai dan Pokok Tiin

Tupai dan Pokok Tiin

Botol air mineral yang diletak pewarna merah
Pada peringkat awal menanam pokok tiin, saya sering melihat tupai berkeliaran dikawasan rumah, malah ada yang kejar mengejar pasangan mereka secara yang amat romentik di kawasan sekitar pasu menanam pokok tiin. Sebagaimana yang tuan puan sedia maklum bahawa apabila buah tiin telah mula masak dengan berubah warna, kita tidak boleh terus memetiknya kerana ianya masih belum cukup manis.. Selalunya kita akan menunggu hari ke 3 atau hari ke 4 untuk memetiknya.. lagi lama kita biarkan didahan pokok, lagi manis buahnya.

Apabila ada buah tiin yang masak, selalunya saya yang akan berjaya memetiknya pada hari ke 4 sebelum si tupai berjaya mendapatkannya.  Tapi itu dulu.  Sekarang jangankan hari ke 4, hari pertama dan ke 2 pun dia dah rembat.  Tuan-tuan bayangkan dari 10 biji yang masak, saya tidak dapat memetik sebiji pun untuk dimakan.  Saya terpaksa berebut dengan tupai pulak sekarang ini.

Nak buat rumah perlindungan hujan (RPH), tidak mampu rasanya dan struktur geografi dalam kawasan rumah taman ni tidak sesuai untuk dinaikkan RPH.

Kawasan rumah taman yang berbukit.  Kelihatan botol-botol air merah diletakkan di keliling kawasan rumah.
Saya agak berbeza pendapat dengan orang-orang yang menyatakan eloklah berkongsi rezeki dengan tupai.  Dapat pahala gitew.  Saya berpendapat jika nak makan buah tiin yang saya tanam, silakan tapi tinggalkan lah sedikit untuk saya, jangan makan semua (ini isu yang tidak perlu diperpanjangkan disini). 

Saya mula memasang perangkap untuk menangkap tupai didalam kompaun rumah saya.  Setelah berjaya menangkap tupai yang ke 21, ya 21 tuan puan sekalian, (tupai yang ditangkap dibuang daerah ke hutan sekitar Putrajaya iaitu sejauh 34KM dari rumah saya).  Setelah putus asa kerana jumlah mereka sedikit pun tidak berkurangan, maka saya pun menghentikan operasi tersebut kerana tiap-tiap hari ada sahaja kelihatan tupai berkeliaran dalam kawasan rumah.

Saat itulah saya mula tidak memperdulikan pokok tiin saya dan membiarkan sahaja buah-buah masak dimakan oleh sang tupai yang rakus bermaharajalela.  Sehinggalah saya ada terbaca di dalam beberapa blog yang memberi cadangan untuk menghalang dan menakut-nakutkan tupai agar tidak memasuki kawasan rumah kita, dicadangkan agar diletakkan botol air yang diisi dengan warna merah (samada sirap atau pewarna).

Saya lihat dengan mata kepala saya sendiri tupai-tupai berkeliaran di luar rumah seolah-oleh tidak boleh masuk atau takut hendak masuk ke dalam kawasan. Saya letakkan ditempat-tempat strategik iaitu di kawasan laluan masuk mereka.  Alhamdulillah pada hari ini saya tidak perlu berebut dengan tupai lagi apabila buah tiin saya telah masak.  Malah setakat ini dari 10 buah tiin saya yang masak, saya dapat menikmati kesemua buah tiin tersebut.

Ada dalam 30 botol air berisi air merah yang diletak di kawasan rumah untuk menakut-nakutkan tupai.
Kini saya bebas untuk membiarkan buah tiin saya masak di dahan dan menunggu ia ranum pada hari ke 4 atau ke 5 dan syukur alhamdulillah saya dapat menikmati buah tiin yang termanis tahap potong kaki semenjak mula menanam pokok tiin 4 tahun yang lalu dengan aman dan tenteram.