Search This Blog

Monday, May 21, 2018

Tupai dan Pokok Tiin

Tupai dan Pokok Tiin

Botol air mineral yang diletak pewarna merah
Pada peringkat awal menanam pokok tiin, saya sering melihat tupai berkeliaran dikawasan rumah, malah ada yang kejar mengejar pasangan mereka secara yang amat romentik di kawasan sekitar pasu menanam pokok tiin. Sebagaimana yang tuan puan sedia maklum bahawa apabila buah tiin telah mula masak dengan berubah warna, kita tidak boleh terus memetiknya kerana ianya masih belum cukup manis.. Selalunya kita akan menunggu hari ke 3 atau hari ke 4 untuk memetiknya.. lagi lama kita biarkan didahan pokok, lagi manis buahnya.

Apabila ada buah tiin yang masak, selalunya saya yang akan berjaya memetiknya pada hari ke 4 sebelum si tupai berjaya mendapatkannya.  Tapi itu dulu.  Sekarang jangankan hari ke 4, hari pertama dan ke 2 pun dia dah rembat.  Tuan-tuan bayangkan dari 10 biji yang masak, saya tidak dapat memetik sebiji pun untuk dimakan.  Saya terpaksa berebut dengan tupai pulak sekarang ini.

Nak buat rumah perlindungan hujan (RPH), tidak mampu rasanya dan struktur geografi dalam kawasan rumah taman ni tidak sesuai untuk dinaikkan RPH.

Kawasan rumah taman yang berbukit.  Kelihatan botol-botol air merah diletakkan di keliling kawasan rumah.
Saya agak berbeza pendapat dengan orang-orang yang menyatakan eloklah berkongsi rezeki dengan tupai.  Dapat pahala gitew.  Saya berpendapat jika nak makan buah tiin yang saya tanam, silakan tapi tinggalkan lah sedikit untuk saya, jangan makan semua (ini isu yang tidak perlu diperpanjangkan disini). 

Saya mula memasang perangkap untuk menangkap tupai didalam kompaun rumah saya.  Setelah berjaya menangkap tupai yang ke 21, ya 21 tuan puan sekalian, (tupai yang ditangkap dibuang daerah ke hutan sekitar Putrajaya iaitu sejauh 34KM dari rumah saya).  Setelah putus asa kerana jumlah mereka sedikit pun tidak berkurangan, maka saya pun menghentikan operasi tersebut kerana tiap-tiap hari ada sahaja kelihatan tupai berkeliaran dalam kawasan rumah.

Saat itulah saya mula tidak memperdulikan pokok tiin saya dan membiarkan sahaja buah-buah masak dimakan oleh sang tupai yang rakus bermaharajalela.  Sehinggalah saya ada terbaca di dalam beberapa blog yang memberi cadangan untuk menghalang dan menakut-nakutkan tupai agar tidak memasuki kawasan rumah kita, dicadangkan agar diletakkan botol air yang diisi dengan warna merah (samada sirap atau pewarna).

Saya lihat dengan mata kepala saya sendiri tupai-tupai berkeliaran di luar rumah seolah-oleh tidak boleh masuk atau takut hendak masuk ke dalam kawasan. Saya letakkan ditempat-tempat strategik iaitu di kawasan laluan masuk mereka.  Alhamdulillah pada hari ini saya tidak perlu berebut dengan tupai lagi apabila buah tiin saya telah masak.  Malah setakat ini dari 10 buah tiin saya yang masak, saya dapat menikmati kesemua buah tiin tersebut.

Ada dalam 30 botol air berisi air merah yang diletak di kawasan rumah untuk menakut-nakutkan tupai.
Kini saya bebas untuk membiarkan buah tiin saya masak di dahan dan menunggu ia ranum pada hari ke 4 atau ke 5 dan syukur alhamdulillah saya dapat menikmati buah tiin yang termanis tahap potong kaki semenjak mula menanam pokok tiin 4 tahun yang lalu dengan aman dan tenteram.



Sunday, May 13, 2018

Hardening Anak Pokok Tiin

Hardening Anak Pokok Tiin

Hardening Anak Pokok Tiin Diletak Ditempat Teduh (Porch Kereta)
  1. Proses paling susah dalam penjagaan pokok tiin.
  2. Anak pokok sangat sensitif dengan suasana persekitaran dan jumlah pengcahayaan yang diterima.
  3. Banyak anak pokok tiin saya kiok semasa proses ini terutama apabila selepas menyemai anak benih keratan yang baru dibawa keluar dari kotak polistrin.
  4. Anak pokok tiin samada yang disemai dari keratan atau tut (air layering) perlu didedahkan kepada cahaya matahari secara berperingkat.  
  5. Ketika baru berpindah pasu atau ke atas tanah, ianya tidak boleh didedahkan sepenuhnya kepada cahaya matahari direct.
  6. Pendedahan kepada cahaya matahari secara berperingkat ini penting kepada survival anak pokok tiin agar dia tidak terkejut dengan perubahan cuaca dan persekitaran.
  7. Jika anak pokok tetiba layu, jangan panik dan gelabah! Apa yang anda perlu lakukan ialah menyiram pokok tersebut dan membuang daun yang telah kecut (lecur).
Daun anak pokok tiin layu dan ada yang melecur akibat pendedahan kepada cahaya yang terlalu banyak
Salah satu cara proses hardening kepada mereka yang menanam pokok tiin disekitar rumah.


Sunday, April 01, 2018

Menyemai Keratan Pokok Tiin (SIRI 2)

Menyemai Keratan Pokok Tiin (SIRI 2)



Pada SIRI 2 ini tuan / puan akan ditunjukkan cara menyemai keratan dengan lebih detail seperti berikut:-

Keratan dari spesis Brown Turkey

1.Kenalpasti dahulu bahagian atas dan bahagian bawah keratan. Bahagian tajam, menunjukkan atas keratan.
2. Rendam bahagian bawah keratan di dalam larutan penggalak akar & antikulat selama yg boleh. (Minimum 2 jam).

Contoh Penggalak Akar B1
3. Bahagian bawah keratan dihiris sedikit kulitnya bagi menggalak pengakaran. (Selalunya dibahagian ruas paling bawah).
4. Bahagian yang dihiris disapukan penggalak akar.
5. Sediakan medium (tanah) yg poros dan tidak bertakung air. Medium boleh digaul dgn baja jika mahu.
6.Isi medium ke dlm cup/polybag/pasu kecil.
7.Keratan ditanam didalam cup/polybag/pasu kecil.
8.Hujung keratan (bahagian atas yg tajam) disapukan 'sealant' bagi mengelakkan serangan kulat & kehilangan moisture.
Contoh Sealant atau Tree Dressing
9.Keratan disimpan didalam kotak polistrin & ditutup rapat. Jauh dari cahaya matahari. 

10.Jangan buka kotak polistrin dalam masa dua minggu.
Contoh Kotak Polistrin

Contoh Keratan Yang diletak di dalam Kotak Polistrin
11.Kebiasaan keratan akan berakar dalam masa 2-4 minggu dan boleh dikeluarkan apabila akar & pucuk telah mula kelihatan dan membesar.
12.Seterusnya biasakan anak pokok dgn perubahan cuaca sekeliling (hardening) dgn memberi pendedahan berperingkat kepada cahaya matahari. 
13.Pokok perlu disiram (renjis2) jika nampak layu.
14.Anak pokok yg berakar dan sudah kuat serta tahan dgn cahaya matahari boleh dipindah ke pasu lebih besar atau diatas tanah dan boleh mula diletak dibawah cahaya matahari.
Selamat mencuba!!


Saturday, March 03, 2018

Pemangkasan Pokok Tiin

Pemangkasan Pokok Tiin (Pruning)

Setelah 3 minggu dipangkas

Kepada mereka yang menanam pokok tiin di dalam pasu, aktiviti wajib yang perlu dilakukan setelah pokok semakin matang, tinggi dan telah menunjukkan tanda tiada perkembangan ialah melakukan pruning atau pemangkasan.  Pemangkasan yang dilakukan sebaiknya serendah yang mungkin untuk memastikan kestabilan pokok apabila membesar.


Terpulang kepada anda samada untuk menukar media yang sedia ada atau mengekalkannya sahaja.  

Setelah 4 minggu
Tujuan utama pruning ialah supaya cabang-cabang utama akan tumbuh semula dengan lebih subur dan menghasilkan buah yang lebih banyak.  

Selamat mencuba.


Sunday, February 25, 2018

Menyemai Keratan Pokok Tiin Paling Mudah (SIRI 1)

Menyemai Keratan Pokok Tiin Paling Mudah (SIRI 1)



Tidak lengkap menanam pokok tiin jika kita tidak pernah mencuba menyemai anak benih dalam bentuk keratan.  Dan dari pengalaman saya ianya adalah sangat mencabar keimanan dan sangat menguji tahap kesabaran kita.  Banyak modal dihabiskan untuk membeli keratan terutama keratan dari spesis yang rare.

Terdapat pelbagai cara untuk menanam keratan dan boleh dikatakan setiap otai mempunyai cara tersendiri untuk menyemai keratan.  Disini saya kongsikan pengalaman saya sendiri yang lebih kepada kaedah try and error.
1.Kenalpasti dahulu bahagian atas dan bahagian bawah keratan. Bahagian tajam, menunjukkan atas keratan.
Bahagian atas keratan hendaklah tajam  / runcing.
 
2.Bahagian bawah sekali keratan (dibawah ruas paling bawah) dihiris sedikit kulitnya bagi menggalak pengakaran.

Gambarajah Batang Pokok Tiin
 
3.Sediakan medium (tanah) yg poros dan tidak bertakung air. Medium boleh digaul dgn baja jika mahu.
4.Keratan ditanam didalam cup/polybag/pasu kecil dan diisi dengan medium.
Keratan BTM6 yang dicucuk terus kedalam tanah yang diisi di dalam polybag
 
5.Hasil tanaman tadi di letak dibawah tempat teduh yg jauh dari cahaya matahari.
6.Biasanya dibiar selama 3-4 minggu sebelum dipindah kepasu besar atau terus ditanam di tanah.

7.Seterusnya biasakan anak pokok dgn perubahan cuaca sekeliling (hardening) dgn memberi pendedahan berperingkat kepada cahaya matahari.

Nota : Kaedah ini memerlukan penggunaan keratan yg segar (fresh) yg baru dikerat seperti keratan yg baru dipotong yg berusia sehari dua..

Selamat mencuba!



Sunday, October 01, 2017

PLANT DRESSING / SEALANT

PLANT DRESSING / SEALANT

Cuma RM5 sahaja di Formeniaga

Fungsi:
 
- Menutup luka serta mengelak serangan kulat pada batang pokok yang luka atau telah dipotong.
 
- Berupaya menghalang serangga perosak daripada mengorek atau menyerang pada permukaan keratan yang luka atau dibiarkan terdedah.
 
- Nampak simple tapi kesannya terutama ketika musim hujan ini adalah sangat bermanfaat.
 
Cara Guna:
 
- Biarkan batang (tempat yang baru dipotong atau pruning) tersebut kering dari getahnya dan sapu di tempat yang dipotong dengan berus yang sesuai. Saya cuma guna cotton bath sahaja.
 
Selamat mencuba.

Sunday, August 27, 2017

5 POKOK TIIN PILIHAN SAYA

5 POKOK TIIN PILIHAN SAYA

  
Dari 1000 lebih spesis pokok tiin yang ada dinegara kita ini, sehingga ke hari ini, saya hanya mempunyai spesis-spesis pokok tiin yang ditanam di tepi rumah seperti berikut :-
  1. Bourjasotte Noire
  2. Beat Ramon
  3. Panachee Tiger
  4. Qing Pi
  5. BTM6
  6. TGF Jumbo
  7. Blue Giant
  8. Black Jack
  9. Tena
  10. Brunswick
  11. Purple Jordan
  12. Jumbo
  13. Super Red Hybrid
 
Dari 13 spesis buah tiin tersebut, saya akan menyenaraikan 5 buah tiin terbaik saya yang produktif dan berbuah dengan banyaknya untuk dimakan oleh saya sekeluarga. Senang dijaga dan tahan lasak dengan semua keadaan cuaca.  Hanya perlu pembajaan dan siraman yang konsisten sahaja.

1.  Black Jack 


2.  Jumbo


3.  BTM6


4.  Blue Giant dan 5.  TGF Jumbo

3 diatas itu ialah Spesis Jumbo dan Blue Giant. Yang masak hijau itu ialah Qing Pi (jatuh no 6)

Saturday, August 05, 2017

CUBAAN MENANAM POKOK TIIN DIDALAM PEJABAT BER'AIRCOND'

CUBAAN MENANAM POKOK TIIN DIDALAM PEJABAT BER 'AIRCOND'


Pokok Tiin Spesis Super Red Hybrid
  • Tarikh letak di office = 31/7/2017.
  • Bilik ber 'aircond'.
  • Sumber cahaya = tiada cahaya 'direct', diletak tepi tingkap berkaca2. 
  • Status pokok : 3 cabang dan mempunyai 7 buah.
  • Spesis = Super Red Hybrid.
  • Benih = tanam dari keratan.
  • Media = 'top soil' + sedikit 'cocopeat'.
  • Pasu = Nutripot (pasu yang boleh menakung air).
  • Baja = Kitosan (akan disiram dua kali seminggu).
  • Buah = telah ada 7 biji semasa dibawa ke pejabat.
  • Tinggi pokok = 2 kaki dari lantai office dan 1.3 kaki dari permukaan tanah.
Artikal ini akan di update dari semasa ke semasa.  Setakat  pada masa artikel ini ditulis, satu pucuk baru telah keluar dan tiada buah yang gugur setakat hari ini.

14/8/2017.
Terdapat kesan kulat di hujung daun akibat tidak cukup cahaya.


26/8/2017
Buah-buah yang sedia ada telah mula berguguran.



Walaubagaimanapun terdapat satu perkembangan positif pada pokok tiin ini apabila mula tumbuh pucuk baru pada satu cabang.



5/9/2017
Setelah 5 hari bercuti sempena Hari Raya Qurban 2017 / 1438H pokok tiin Super Red Hybrid di dalam office kelihatan segar dan terdapat beberapa pucuk baru telah tumbuh. Walaubagaimana pun :

  • Semua buah yang sedia ada telah gugur (7 biji).  Ini adalah kerana kemungkinan besar pokok yang dibawa dari rumah ini sedang membiasakan diri dan cuba mutate dengan suasana persekitaran baru yang amat berbeza dengan di rumah.
  • Tiada pertumbuhan kulat yang baharu pada daun sebagaimana pada awal-awal ketika mula diletak di office.
  • Karat daun berada pada kedudukan yang sangat minimal.
  • Terdapat dua tiga pucuk baharu tumbuh.
  • Tiada terdapat kesan kulat pada tanah (media).
Pucuk-pucuk baru tumbuh dengan galaknya..

2.10.2017
  • Pucuk baru tumbuh dengan galaknya.
  • Tiada karat daun dikesan.
  • Tiada kulat baru pada mana-mana daun.
  • Dengan izin Allah SWT maka kombinasi air mineral dan baja cecair kitosan telah memberi kesan positif kepada pokok untuk terus membesar dan hidup dalam suasana ber 'aircond'.
  • Ada 2 persoalan yang bermain diminda sekarang iaitu adakah ia akan tidur tidak lama lagi atau adakah pokok ini akan mula berbuah?
2/10/2017
 6/11/2017 
  • Pokok tumbuh dengan subur.
  • Tiada lansung karat daun.
  • Berdebar juga rasanya adakah pokok ini akan berbuah tidak lama lagi?

1.3.2018 
  • Setelah 4 bulan tidak update.
  • Pokok semakin tinggi mencecah 5 kaki.
  • Tiada karat daun dikesan.
  • Masih lagi tidak berbuah.  Akan mencuba letak baja buah yg nilai K nya tinggi.  

21.4.2018 

  • Syukur alhamdulillah setelah 8 bulan menunggu akhirnya muncul mata ketam pertama.
 
 
  • Tiada daun gugur sejak dari tarikh 31.7.2017.
  • Tiada karat daun dikesan sejak dari tarikh tersebut.
  • Ketinggian pokok hampir mencecah 6 kaki.

Saturday, July 22, 2017

FERTIGASI POKOK TIIN

FERTIGASI POKOK TIIN
Pening kepala sebelum hari raya aidil fitri baru-baru ini bila mengenangkan akan meninggalkan rumah selama seminggu dan dalam masa yang sama pokok tiin di laman rumah tidak akan bersiram juga selama seminggu. Kebanyakkan pokok tiin saya ditanam di dalam pasu dan ianya memerlukan dijirus setiap hari melainkan pokok tiin yang ditanam terus ke tanah yg mana terbukti pada raya tahun lepas boleh ditinggalkan seminggu tanpa disiram.

Seminggu sebelum raya saya mengambil keputusan untuk membeli set fertigasi disebuah kedai pokok tiin di Sri Kembangan setelah PM ikat tepi dalam FB kepada sahabat pokok tiin saya yang menjual set fertigasi tidak dilayan.  Sebelum kita terlibat dalam menyediakan sistem fertigasi pokok tiin (saya tiada pengalaman lansung dalam mengendalikan apa jua jenis sistem fertigasi) saya mencadangkan perancangan teliti dan keputusan dibuat mengenai :
  1. Rajah / plan lokasi dimana pokok akan diletakkan / dibariskan.
  2. Perlu atau tidak meletak silvershine. 
  3. Berapa banyak air yang nak disiram.
  4. Perlu atau tidak mencampur air dengan baja untuk siraman dilaman rumah.
  5. Lokasi sumber air.
  6. Lokasi sumber eletrik.
Setelah perancangan dibuat, bolehlah ke kedai untuk membeli set peralatan fertigasi.  Antara peralatan yang dibekalkan dengan belian set fertigasi bernilai rm100 ialah: 
Poly Pipe 16mm

Nipper

Penebuk Lubang

Elbow 16mm, Tee 16mm, Straight coupler 16mm  dan End cap 16mm

Dripper

OT Valve 16-16

Micro Tube

Digital Timer

Water Pump
Setelah peralatan fertigasi disediakan, saya mula menyediakan punca air dan punca eletrik untuk berada sedekat yang boleh dengan pokok-pokok tiin yang telah dibariskan ditepi rumah.  Punca air yg konsisten dan stabil adalah sangat diperlukan dan disambung ke tong air (tong beras) dengan disediakan set pelampung air (seperti set pelampung di dalam tangki air tandas) supaya bekalan air akan sentiasa masuk secara terkawal ke dalam tong air tersebut.
Air dari paip utama disambung ke tong air. Terdapat juga punca eletrik yang membekal tenaga eletrik ke water pump dan digital timer.

Kedudukan pelampong air yang disambung dari punca air supaya bekalan air stabil dan sentiasa penuh.
Kedudukan OT Valve di dalam tong air adalah sebagaimana gambar dibawah:
OT Valve kiri sambungan ke pasu-pasu dibuka sepenuhnya manakala OT Valve disebelah kanan dibuka separuh untuk pengaliran air masuk semula ke tangki dan membolehkan pengaliran udara keluar masuk ke dalam sistem.
Sistem di dalam tangki air apabila telah siap sepenuhnya.
Setelah selesai urusan punca bekalan air dan eletrik, maka tiba fasa untuk menyediakan set fertigasi kesetiap pasu yang telah dibariskan.  Saya menyediakan 3 aliran utama ke pokok-pokok tiin saya. Dimana aliran ketiga ini agak komplikated sedikit kerana terdapat beberapa anak pokok di dalam polibag sebaris dengan pasu besar gedabak.  Oleh itu saya terpaksa menambah OT Valve kepada poly pipe sebelum sampai ke polybag sebagaimana gambar dibawah:
Aliran ketiga sistem fertigasi saya yang agak komplikated kerana terdapat polybag dihujung aliran.
Aliran paip dari tong untuk ke pokok

Aliran biasa ke pokok
Sebelum sistem beroperasi secara rasminya adalah lebih baik jika kita dapat menguji (test) sistem yang telah kita sediakan tersebut termasuk setting pada digital timer kita.  Saya membuat keputusan untuk: 
  1. menyiram pokok saya sebanyak 4 kali sehari.
  2. Penggunaan baja cecair seminggu sekali dengan kawalan siraman air 2 kali sehari.
  3. setelah beberapa ujian dijalankan adalah baik untuk pokok-pokok saya disiram selama 10minit pada sekali siraman (ini bergantung kepada bagaimana anda menyucuk micro tube ke dripper anda).
Ujian demi ujian dijalankan untuk mencari sistem yang paling sesuai untuk kita yang bekerja pejabat sehingga kita berpuashati dengan setting tersebut.
Setelah berpuashati dengan sistem yang telah diuji berkali-kali, maka bermulalah sistem fertigasi saya beroperasi secara rasmi.  Pandangan saya setalah 2 bulan menggunakan sistem fertigasi yang saya anggap sebagai after settup service ialah :
  1. Rajin-rajinlah meracun rumput kepada mereka yang enggan meletak silvershine kerana rumput dan lalang akan tumbuh dengan subur giler akibat mendapat bekalan air yang konsisten.
  2. Jangan terbalik menyucuk nipper ke poly pipe 16mm kerana ianya akan menyebabkan limpahan air yang tidak perlu. 
  3. Rajin-rajinlah menjengah micro tube anda kerana si tupai ni asyik aje menjadikan kawasan pokok anda sebagai kawasan mainan seperti kejar mengejar sesama mereka dan seringkali micro tube tercabut dari poly pipe 16mm anda.
  4. Rajin-rajinlah membersihkan dripper anda yang mungkin tersekat alirannya malah saya sering mengubah-ngubah kedudukan dripper untuk membolehkan semua kawasan tanah dalam pasu pokok saya mendapat bekalan air secara adil. 
Ada pasu yang saya cucuk dengan dua dripper dan ada pasu yang saya cucuk dengan satu dripper bergantung kepada saiz pasu.
Selamat mencuba sistem fertigasi di kawasan rumah.  InsyaAllah