Search This Blog

Sunday, April 23, 2017

Racun Serangga Pokok Tiin

Racun Serangga Pokok Tiin 


Penggunaan racun serangga dalam penanaman pokok tiin walaupun disekeliling rumah adalah wajib kerana terdapat banyak jenis serangga yang sangat berminat dengan pokok tiin ini.  Dari pengamatan saya, terdapat pelbagai jenis semut yang turun naik pokok tiin, ada yang masuk ke dalam tanah, ada ke daun, ada ke pucuk, yang melepak bawah daun dan yang masuk ke dalam buah.

Itu baru semut, bagaimana pula dengan pelbagai jenis lalat dan yang paling masyur ialah lalat buah.  Gnat yang suka membuat sarang dalam tanah yang mana akhirnya telur-telurnya akan menetas menghasilkan nemetod yang akan merosakkan akar-akar juga sangat banyak di keliling rumah saya.  Oleh itu saya tidak mempunyai banyak pilihan lain samada untuk meneruskan menanam buah yang disebut di dalam Al Quran ini atau mengalah dan stop menanam.

Disini anda mempunyai dua pilihan samada untuk menggunakan racun serangga kimia atau organik.  Kedua-dua mempunyai kelebihan dan kekurangannya.  Racun serangga kimia biasanya kelas III atau IV terbukti berkesan mengawal serangga dan menghasilkan kesan yang segera dan efektif dan yang paling penting harganya amat berpatutan.

Manakala racun serangga organik yang diperbuat dari bahan-bahan semulajadi seperti tumbuh-tumbuhan pula harganya sangat mahal tetapi tidak mempunyai kesan biologi terhadap tubuh manusia dan memelihara alam sekitar.  

Saya secara peribadi menggunakan racun serangga organik berjenama BROGARD yang  harganya RM200 untuk 500ml dan dah setahun saya pakai dan masih tidak luak-luak kerana bancuhannya cuma 2 - 3 ml untuk 1 liter air.  Saya sembur dua minggu sekali dan sejak dua menjak ini saya menyembur sekali seminggu kerana buah tiin saya kerap diserang semut dan lalat buah.  

Selain itu saya turut menggunakan racun serangga organik Ra'ja Anti Serangga yang juga sejenis racun serangga organik.

 
Kini pokok tiin keliling rumah saya sudah saya pindah ke kawasan terbuka yang terdedah kepada hujan dan cahaya matahari, oleh itu kekerapan penggunaan racun serangga organik adalah semakin diperlukan.  Anda boleh menggunakannya tanpa was-was dan boleh menikmati buah tiin anda pada bila-bila masa.  Tiada hasil sampingan dan tiada tempoh tuaian hasil yang ditetapkan.

Berbanding dengan penggunaan racun serangga kimia dimana anda dinasihati supaya menunggu antara 3-6 bulan selepas penggunaan barulah ianya dianggap selamat untuk dimakan.

Saturday, March 25, 2017

Pindah Pasu

Pindah Pasu


Diantara persediaan-persediaan yang perlu dibuat untuk memindahkan anak pokok tiin dari cup ke dalam pasu atau dari polibeg / pasu kecil ke dalam pasu besar adalah seperti berikut:
  1. Sediakan pasu yang sesuai dengan tumbesaran akar yang sedia ada.
  2. Sediakan media poros seperti tanah topsoil, tanah kompos, tanah bakar, perlite dan sebagainya.
  3. Baja yang bersesuaian.
  4. Sebaik-baik waktu untuk berpindah pasu hendaklah pada waktu petang.
  5. Gunting polibeg dengan hati-hati agar tidak terkena akar.
  6. Jika pasu kecil atau cup dinasihatkan supaya terbalikkannya supaya dapat mengeluarkan anak pokok dengan selamat.
Anda mempunyai dua pilihan samada untuk memindahkan sekali dengan tanah asal yang ada di dalam polibeg/pasu kecil atau menanggalkan tanah yang sedia ada tersebut dari akar.  Saya lebih suka dengan pilihan pertama kerana ianya lebih selamat dan mudah.
Baja Nugget
Setelah tanah kompos yang poros dicampur dengan sedikit perlite, saya juga akan letak sebutir dua baja nugget ke dalam pasu sebagai cara untuk memberi nutrien yang cukup kepada anak pokok saya. Seterusnya setelah pindahan dibuat, saya akan menyiram anak pokok itu secukup rasa.



Monday, March 20, 2017

Keratan Yang Fresh

Keratan Yang Fresh
Keratan Yang Fresh
Keratan Yang Tidak Fresh
Keratan yang tidak fresh selalunya adalah keratan lama yang mudah dijangkiti kulat apabila diletakkan dikawasan gelap (container) walaupun telah dirawat dengan cecair anti kulat kerana sistem marfologi batang telahpun tidak berdaya bertahan lagi. 

Komponen struktur organ untuk pengangkutan dalam sistem marfologi batang adalah sangat penting dalam menentukan peratusan hidup sesuatu keratan apabila disemai untuk dijadikan anak pokok.

Oleh itu sebagai penanam pokok tiin perlu mengetahui serba sedikit tentang marfologi batang tiin yang terdiri dari kulit batang, empulur, kambium vaskular, zailem dan tisu phloem.  Kesemua organ-organ tersebut mempunyai peranan tersendiri dalam pertumbuhan pokok tiin anda.  Yang penting ialah memastikan kesemua organ-organ tersebut segar (fresh) ketika membeli. 
Sebelum membeli keratan apa jua jenis spesis pokok yang anda idam-idamkan, sila pastikan keratan yang anda beli tersebut hendaklah segar dan baru sahaja dikerat.  Sila pastikan anda melakukan perkara-perkara seperti berikut :
  1. Minta seller menunjukkan gambar keratan tersebut terutamanya pada bahagian rentas untuk melihat kesegaran organ-organ keratan tersebut.
  2. Belilah keratan yang baru sahaja di potong.  Jangan segan tanya seller dah berapa hari keratan yang anda ingin beli tersebut telah dikerat.
  3. Jangan lupa tanya seller samada pokok induk keratan tersebut berbuah atau tidak dan berpenyakit atau tidak.
  4. Pastikan seller telah merawat keratan yang anda beli tersebut dengan cecair anti kulat dan penggalak akar.
Pada pendapat peribadi saya, keratan yang baru dipotong mempunyai peratusan hidup yang tinggi kerana masih fresh.  Keratan yang berumur 0-3 hari adalah yang terbaik untuk disemai di dalam container.

Sunday, March 19, 2017

Gambarajah Keratan Pokok Tiin

Gambarajah Keratan Pokok Tiin

Gambarajah Keratan Pokok Tiin
Sebagai perkongsian dan rujukan umum mengenai keratan pokok tiin yang menjadi tanda tanya kepada newbie yang masih mencari-cari ilmu mengenai pokok tiin yang harganya agak mahal ini.  Sekurang-kurangnya gambarajah yang simple ini akan menjadi panduan berguna apabila menyemai benih atau keratan untuk dijadikan anak pokok.

Gambar ini diambil dari pokok tiin saya yang masih terpacak di atas tanah lagi untuk memberikan kedudukan sebenar dan gambaran jelas tentang:
  1. Bintil-bintil berderet yang terletak dibawah sempadan ruas ialah kawasan dimana akar-akar pokok tiin akan keluar.
  2. Tunas buah (mata ketam) dan pucuk ruas baharu akan tumbuh di tempat yang sama iaitu di celah (ketiak) antara batang dan tangkai daun.
  3. Kedudukan tangkai daun sentiasa berada dibawah sempadan ruas.
Semoga sedikit perkongsian ini akan memberi sedikit panduan dan gambaran kepada anda yang ingin mencuba menanam pokok tiin dari keratan.  Selamat mencuba! 


Saturday, March 18, 2017

Bila Buah Tiin Masak?

Bila Buah Tiin Masak?   
  
Kedudukan tangkai buah yang tegak
Sudah Ranum dan sedia untuk dipetik.

Kepada newbie sudah tentu debaran menanti buah tiin untuk masak adalah saat-saat yang amat dinanti-nantikan.  Maklumlah dah menunggu sekian lama tetapi masih belum masak-masak lagi adalah satu pengalaman yang boleh membuatkan kita hilang sabar.  Jadi apa tandanya yang menunjukkan buah tiin kita dah masak dan boleh dipetik?

Tidak dapat dipastikan berapa lama masa diambil untuk buah tiin kita untuk masak (ripe) kerana jangkamasa tersebut berbaza antara spesis ke spesis.. hasil dari pemerhatian saya mendapati purata jangkamasa ialah antara 90 ke 120 hari (3-4 bulan).  Apabila ianya mula berputik (mata ketam) buah tiin akan membesar dengan cepat dan akan kekal dengan saiz tersebut sehingga 90-120 hari.  

Antara ciri-ciri buah tiin bila masak dan sedia untuk dipetik:
  1. Tetiba mula berubah warna.  Dari hijau kepada merah misalnya. Hampir semua buah tiin bewarna hijau (belum masak) atau belang kuning hijau tetapi berubah warna ketika hendak masak. 
  2. Bila berubah warna inilah masa yang amat sesuai untuk anda membalut buah tiin anda untuk mengelakkan dari diganggu serangga perosak.
  3. Tangkai buah mulai lentok.
  4. Mulai lembut jika dipicit-picit (dilarang memicit-micit buah tiin jika anda melawat mana-mana ladang buah tiin milik orang lain hehehe).
  5. Jangkamasa dari mula ia berubah warna sehinggalah sepenuhnya masak adalah antara 4-7 hari sahaja.  (ketika ini lah buah tiin anda akan membesar lagi secara ajaib.)
  6. Apabila tangkai buah tiin anda telah sujud sepenuhnya maka ketika itulah saat paling baik untuk memetik dan makan.
  7. Ada juga buah tiin dalam tempoh 4-7 hari ini bila disentuh ianya akan gugur sendiri dan sedia untuk dimakan.
  8. Anda dicadangkan untuk petik dan simpan dalam peti ais selama sehari. jangan basuh dulu untuk menikmati buah tiin fresh dan juicy.
  9. Anda mempunyai pilihan juga untuk membiarkan buah tiin anda masak sehingga kecut ditangkai (jika ia tidak gugur).  Buah tiin yang masak kecut ini mempunyai nilai brixx yang sangat tinggi dan rasanya sangat-sangat manis ibarat kata isteri saya : manis dia itu teringat-ingat walaupun dah makan 2-3 hari lepas!
Anda memerlukan kesabaran yang amat tinggi sementara menunggu buah tiin anda masak.  All the best and good luck.. Selamat menikmati buah tiin fresh hasil tanaman anda sendiri.

Friday, March 10, 2017

Istilah-istilah Berkaitan Pokok Tiin

Istilah-istilah Berkaitan Pokok Tiin  

Pengumpulan istilah-istilah berkaitan pokok tiin ini adalah hasil dari pemerhatian dan mengumpul pendapat sifu-sifu pokok tiin dan terima kasih banyak-banyak diatas usaha-usaha mereka tersebut. Diantaranya ialah:

Fig = pokok tiin.


Common Fig = Dikenali dengan nama saintifik sebagai ficus carica (sesuai ditanam dinegara kita).

Spesis = Variety, Varietas, Jenis-jenis pokok tiin seperti Iraqi/Brown turkey/panachee dll.

Kultivar = Spesis tanaman yang dibiakkan secara selektif.

Grafting = Cantuman pokok tiin (kahwin). Samada kaedah V, T, Z dan bud dan lain-lain.

Callous = bintil-bintil putih akar.

Scion = Cebisan kulit pokok tiin yang akan digunakan untuk tujuan cantuman pokok tiin (grafting). Senang cakap ianya ialah mata tunas.

Rootstock = Pokok penanti iaitu Pokok induk yang akan digunakan untuk tujuan grafting.

Node = Ruas pokok. Tempat penyambungan di batang (selepas node akan ada daun dan buah atau tunas baru).

Internode = Panjang antara ruas ke ruas. Makin panjang antara ruas menandakan pokok yang sihat.

Rooting = Proses semaian keratan untuk mengeluarkan akar dengan menggunakan media. 

Bareroot - Pokok tiin yang ditanggalkan kesemua tanah dari akar secara total.

Hardening = Proses membiasakan anak pokok tiin dengan suasana persekitaran dan seterusnya dengan iklim cuaca.

Organik = Baja/racun yang diproses secara semulajadi dengan menggunakan bahan-bahan semulajadi seperti tumbuh-tumbuhan dan ada juga dengan campuran tinja-tinja yang diproses seperti tahi ayam, arnab, kambing dan lain-lain.

Chemical = Kimia. Baja/racun yg diproses dari bahan kimia contohnya baja AB dan malathion.

White flakes = Serpihan akar.

Cutting = keratan yg dipotong dengan panjang tertentu (selalunya 4 node) dari pokok induk untuk tujuan semaian.

Green House = Rumah Pelindung Hujan (RPH). berbumbung plastik UV yang telus cahaya / Dinding diperbuat daripada netting kalis serangga.

Self pollinating = Pokok tin yang boleh berbuah sendiri tanpa pendebungaan.

Media = Bahan asas atau perantara yang digunakan untuk menanam (tanah/cocopeat/peatmoss/perlite/sekam dll).

Poros = Media yang tidak menyimpan air atau menakung air.

Air layer/tut = Proses membungkus bahagian bawah node untuk keluarkan akar (tujuan membuat anak pokok baru).

Bunjut dan rebunjut = Proses tut kali kedua yang mana tut dimasukkan kedalam plastic untuk akar berkembang.

Pruning = Proses mencantas untuk hasilkan tunas baru (nota: cabang yang pernah berbuah tidak akan berbuah lagi. Perlu cantas untuk dapatkan cabang baru atau biarkan pokok meninggi dengan tunas-tunas baru).

Succer = cawangan kecil ranting / batang / ruas baharu yang parasitic yang menyerap banyak nutrien tanah dan baja tetapi tidak produktif.

Sunat = Buang pucuk daun teratas untuk membantutkan pertumbuhan.

Main crop = Buah utama (kedudukan di atas node dan sebelah daun).

Mata ketam = Putik buah.

Honey drop = Titisan madu yang keluar dari buah tiin apabila buah tiin telah masak.

Tangkai sujud = Menunjukkan buah tiin dah masak dan boleh dipetik.

Breba crop = Buah kedua.  Kedudukan di bawah node dan buahnya tidak akan sama macam main crop. Setakat ini breba tak pernah keluar di Malaysia.

Lobes = Keluk daun / Lekuk daun. Biasanya variety diterangkan dengan berapa lobe daun (Nak mudah faham kita gelar aje sebagai JARI DAUN).

DTK = demam tak kebah. Rindu dan asyik teringat kat pokok pagi petang siang malam.

Pokok tidur = Tiada pertumbuhan dalam jangkamasa yang agak lama.

FMV = Fig Mosaic Virus. Sejenis penyakit pada daun pokok tiin.

Karat Daun = Fig Rust. Sangat normal kepada pokok tiin. Sejenis penyakit daun pokok tiin yang tidak dapat dielakkan.

Nematod / borer = ulat-ulat perosak pokok tiin.

Koya = Bena putih atau Mealy Bug merupakan serangga perosak yang sering menyerang pokok yang berbatang lembut.

Penyakit kulat = Wet Mold, Phytophthora, Phytium, Hawar Pucuk, Fusarium, choanephora, botrytis limb blight dan lain-lain.


Sunday, February 05, 2017

Phytophthora

Phytophthora


Penyakit fungus ni kerap menyerang dimusim hujan atau selepas hujan. Ianya selalu nya berlaku ketika musim hujan yang berpanjangan. Mungkin juga disebabkan oleh humidity  atau kadar kelembapan yang terlampau. Spora nya boleh berjangkit melalui hujan, angin, serangga dan sentuhan.  Ada empat jenis Phytophthora iaitu Phytophthora cupsia, Phytophthora infestans, Phytophthora nicotianae dan Phytophthora palmivora.

Pengalaman saya sendiri saya dapati hanya pokok tiin yang sentiasa terdedah dengan hujan yang berterusan dan kurang mendapat cahaya matahari adalah pokok yang paling beresiko tinggi untuk dijangkiti penyakit Phytophthora ini.  Ini adalah kerana pokok-pokok tiin saya yang ditanam dikawasan terbuka diatas tanah yang sentiasa menerima hujan dan panas tidak pula dihinggapi penyakit ini.  

Begitu juga dengan anak-anak pokok tiin dibawah porch kereta yang tidak kena hujan dan menerima cahaya matahari antara 2 - 6 jam sehari juga tidak dijangkiti oleh penyakit ini.


Ada 2 cara utama bagaimana ia merebak iaitu bila kering dia ikut angin atau bila basah dia turut mengalir bersama air. Daun yang diserang Phytophthora ini akan layu dan tidak bermaya.  Malah pada tompokan kelabu hitam itu urat daun akan patah.  Adakalanya ranting akan mengecut.


Ianya merupakan lecur berair didaun dan pucuk.  Bila dijangkiti ianya perlu dibuang jauh-jauh malah dicadangkan bahawa gunting yang digunakan untuk menggunting daun-daun yang dijangkiti Phytophthora ini perlu dirawat dengan cecair basmi kuman selepas ianya digunakan. 

Jangan lupa asingkan pokok yang diserang dengan kuarantinkan pokok tersebut agar tidak merebak kepada pokok lain.  Potong di bahagian yang kena serangan sehingga jumpa batang yang segar dan hijau sepenuhnya. Kesan serangan kulat ini akan jelas kelihatan dibawah kulit sekiranya batang pokok dipotong.  Ada warna seolah-olah oren dibawah kulit.
Penggunaan racun yang sistemik perlu dilakukan dengan menggunakan sebagai contoh: Amistar, Ridomil, Nativo yang dicampur sedikit dengan mancozeb untuk mendapat hasil yang lebih baik.  Juga dicadangkan penggunaan fungicide samada metalaxyl atau propamocarb, benomyl, dan fosetyl alluminuim secara bertukar ganti.

Bagi saya penanam pokok tiin dihalaman rumah, apa yang saya lakukan ialah menggunting mana-mana daun yang dijangkiti Phytophthora ini dan membuangnya jauh-jauh sambil kuarantin pokok berkenaan dengan harapan ianya tidak menjangkiti pokok-pokok yang lain.

PERLITE

PERLITE 


Juga dipanggil sebagai tanah putih.  Ianya merupakan medium pilihan untuk menanam keratan dan juga anak pokok.  Perlite merupakan mineral silika yang telah mengalami pemanasan pada suhu tinggi.   

Hasilan daripada proses tersebut, mineral berkenaan akan menjadi steril dan mampu menyerap air dengan banyak dan sebaliknya boleh dikeringkan dengan cepat. Oleh sebab itu, perlite berperanan untuk meningkatkan isi padu, saliran dan pengudaraan pada media pengakaran dan banyak digunakan sebagai bahan dalam media pengakaran tanaman terutamanya untuk tanaman pokok tin.

Tuesday, January 31, 2017

Zeolite

ZEOLITE


Hujan yang berterusan sekarang ini dan juga penggunaan baja kimia yang kerap selalunya akan menjadikan tanah (media) tanaman kita menjadi terlalu berasid, masam dan membantutkan tumbesaran pokok.  Oleh itu penggunaan kapur pertanian untuk meneutralkan kembali tanah adalah sangat penting. Saya secara peribadi menggunakan zeolite. Zeolite berfungsi untuk meneutralkan pH tanah yang berasid.  pH tanah yang sesuai untuk pokok tiin adalah bacaan antara 5.5 - 7.

Zeolite adalah mineral semula jadi dengan struktur atom yang sangat poros. Cas negatif yang terdapat padanya membolehkan ia menarik dan mengekalkan sebatian larut air seperti ammonium, potassium, magnesium dan kalsium.  Ianya bertindak sebagai :

1.  Agen melembabkan tanah dan mengagihkan kelembapan di dalam tanah.

2.  Meningkatkan keberkesanan baja dengan memegang nutrien dan membebasakannya apabila diperlukan oleh tumbuhan. 

3.  Mengelakkan dari berlakunya pembaziran nutrien akibat daripada penyiraman tumbuhan.

4.  Memegang ammonia (nitrogen) berlebihan, mencegah akar terbakar dan mengekalkan nitrogen untuk kegunaan masa hadapan tumbuhan.

5.  Menghalang kalium daripada hilang di dalam tanah. Ini dapat meningkatkan pengambilan kalium oleh tumbuhan ketika pembungaan atau pembuahan.

6.  Meningkatkan pengekalan unsur surih di dalam tanah seperti P, Cu, Mn, Ca, Mg dan Zn.


Saya mencadangkan penggunaan zeolite ini sebulan sekali agar tanah akan sentiasa berada dalam keadaan normal dan cukup zat untuk membekalkan nutrien kepada pokok tiin kita,

Karat Daun

Karat Daun Tiin 

Karat Daun Tiin Yg Kronik
Karat daun ini merupakan penyakit biasa yang terdapat pada pokok tiin.  Oleh itu anda tidak perlu panik.  Ianya normal kepada pokok tiin di kawasan tropika.  namun jika ia tidak diatasi ia boleh menular malah akan menganggu tumbesaran dan hasil pembuahan yang terbaik. Selain dari faktor hujan yang agak banyak di negara kita dengan iklim monsun tropika, karat daun oleh kulat ini juga disebabkan oleh keadaan kelembapan yang sangat tinggi.  Oleh sebab itulah walaupun Pokok Tiin yang ditanam didalam Rumah Perlindungan Hujan (RPH) (Green House) juga turut mengalami masalah karat daun.


Disini terdapat beberapa langkah pencegahan yang dicadangkan:
  1. Siram jangan bagi kena daun.
  2. Buang semua daun yang karat.
  3. Tanah kt permukaan di gembur-gembur  bagi ada ruang supaya tidak bertakung.
  4. Penyemburan anti kulat melalui penggunaan anti kulat atau secara ubat asas organik.
  5. Jadualkan semburan anti kulat secara berkala.
  6. Daun yang dijangkiti karat daun harus dibuang jauh dari kawasan itu atau ditanam, kalau tidak debu debu kulat (spora) akan berterbangan dan menjangkiti pohon yang lain.
  7. Pembajaan yang sesuai merupakan asas pengukuhan ketahanan pokok agar ia berdaya untuk melawan penyakit yang mendatang.

Terdapat pelbagai jenis anti kulat yang terdapat di pasaran sekarang dan kebanyakkannya diusahakan sendiri oleh pekebun-pekebun tiin skala besar.  Terpulang kepada anda untuk mendapatkannya dan menggunakannya.  Bagi saya yang menanam pokok tiin dilaman rumah, cukup sekadar saya mengerat tangkai daun yang mempunyai karat daun yang kronik itu dan membuangnya jauh-jauh.

Sunday, January 22, 2017

Guardian Of my Fig's

Guardian Of my Fig's
(Asian Ant Mantis)

Semut????
Bersua kembali bersama Laman Tiin Wanzai.  Pengalaman peribadi saya dalam menanam pokok tiin di sekitar rumah.  Saya merasa amat bersyukur dan bertuah kerana pokok tiin induk spesis 'black jack' yang ditanam ditepi rumah saya rupa-rupanya ada 'penunggu'.

Sebagaimana yang sedia maklum memang setiap hari kita penanam pokok tiin ini akan menjengah pokok tiin kita pagi petang siang dan malam.  Saya dapati terdapat 4 hingga 5 jenis semut yang datang kepada pokok tiin saya samada masuk ke dalam tanah, ke daun atau batang.  Tetapi ada seekor semut ni (semut yang paling besar) akan sentiasa berada di pucuk atau kemuncak pokok tiin saya.  

Saya mempunyai tabiat untuk tidak membunuh serta merta apa jua serangga yang hinggap ke pokok tiin saya.  Saya akan 'membelek' dan memerhatikan terlebih dahulu serangga-serangga tersebut sebagaimana 'pokemon' pokok tiin saya. Sila klik artikel Pokemon Pokok Tiin. Pandangan dari atas memang 'sebiji' ianya kelihatan adalah seekor semut.  

Tetapi bila saya cuba close up saya dapati 'semut' ini agak pelik kerana mempunyai kaki hadapan yang agak panjang. 

Loyal Guardian of My Fig's
Setelah diselidiki melalui beberapa artikel saya merasa amat terkejut dan teruja kerana serangga yang saya ingat selama ini adalah seekor semut rupa-rupanya adalah serangga 'predator' yang mana makanan asasinya ialah semut-semut yang naik ke pokok tiin saya!

Ianya adalah seekor mentadak daun (asian ant mantis) atau juga dikenali sebagai Ant Mimic Mantis. Sebenarnya semasa muda (juvenile) mentadak daun ini akan menyerupai seekor semut dan semakin dewasa rupa semutnya akan menghilang.


Satu pos istimewa dari mentadak yang menjaga pokok tiin saya.
Saya merasa amat bersyukur diatas kurniaan dari Allah S.W.T kepada saya diatas anugerah yang sangat beharga ini.  Tidak perlulah saya meracun pokok tiin saya ini lagi kerana sudah ada makhluk Allah yang menjaganya.  


Nyum Nyum antara santapan mentadak yang menjaga pokok tiin saya ini iaitu merupakan seekor semut (maaf kualiti gambar kurang memuaskan kerana tangan menggigil sewaktu mengambil gambar ini hehehe)
Sehinggalah ke tarikh hari ini, mentadak ini dan keturunan dia tetap menjaga my 1st pokok tiin spesis black jack saya. Nikmat Tuhanmu yang mana lagi yang hendak kamu dustakan.  Syukur alhamdulillah..

Monday, January 02, 2017

Spesies Pokok Tiin

Spesies Pokok Tiin
Spesies batang berbelang selalunya akan menghasilkan buah yang kulit berbelang.

Ada yang memanggilnya dengan istilah/perkataan varietas, ada yang memanggilnya varieti tetapi bila saya rujuk kepada Pusat Rujukan Persuratan Melayu, yang keluar ialah istilah/perkataan SPESIES. Spesies bermaksud : 
  1. Istilah golongan haiwan, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain yang mempunyai ciri yang sama.
  2. Golongan benda (binatang, tumbuh-tumbuhan, dll) yang mempunyai sifat yang sama atau bersamaan bangsa, jenis.
So mulai hari ini tobat dah tidak mahu lagi guna istilah varieti atau varietas untuk merujuk kepada jenis-jenis bangsa pokok tiin.

Sebagaimana yang saya jelaskan dalam artikal terdahulu dibawah tajuk : sop penanaman pokok tiin untuk newbie dan boleh ke pokok tiin hidup di malaysia, saya ada menerangkan tentang jenis-jenis pokok tiin yang datang dari famili atau genus yang berbeza. Antaranya ialah :
  1. 14 jenis pokok ara di negara kita diantaranya ialah ara sungai , ara telinga gajah dan ara mekah.
  2. Caprifig 
  3. San pedro 
  4. Smyrna
Caprifig, San pedro dan Smyrna memerlukan proses pendebungaan yang dilakukan oleh agen seperti wasp oleh itu buahnya tidak akan masak ataupun pokoknya tidak akan berbuah di negara kita.  Pada artikal ini, kita hanya hanya memberi tumpuan kepada pokok tiin yang dikenali sebagai ficus carica atau common figs iaitu pokok tiin yang sesuai ditanam dinegara kita.

Rupa-rupanya ada seribu lebih spesies pokok tiin (ficus carica atau common figs) yang telah dibawa masuk ke negara ini.  Tidak perlulah untuk saya menyenaraikan kesemua seribu lebih jenis spesies ini.  Cukuplah saya printscreen beberapa nama spesies dan harga pasaran (pada ketika di printscreen) dan saya bahagikan kepada 3 harga iaitu harga keratan, tut dan anak pokok.

Contoh Spesies dan Harga Keratan
Contoh Spesies dan Harga Keratan
Contoh Spesies dan Harga Tut
Contoh Spesies dan Harga Tut

Contoh Spesies dan Harga Anak Pokok
Contoh Spesies dan Harga Anak Pokok
Kesimpulannya :
  • Pastikan dulu samada anda hendak membeli keratan, tut atau anak pokok.
  • Harga keratan, tut dan anak pokok adalah berbeza.
  • Harga anak pokok tiin berbeza antara satu spesies ke satu spesies.
  • Ada anak pokok yang berharga rm50 dan ada anak pokok yang beharga RM4k.
  • Sebelum membeli keratan, tut atau anak pokok, sila jangan segan silu untuk bertanyakan sumber induk pokok tiin yang akan anda beli.
  • Kalau rajin tanyakanlah samada ada atau tidak gambar pokok induk dan buahnya.  Jika penjual anda menjawab "tidak ada", bermakna anda sedang mengambil resiko yang tinggi untuk menerima keratan, tut atau anak pokok yang berkemungkinan salah identiti, berpenyakit, tidak berbuah atau buah tidak masak.
  • Harga anak pokok bergantung kepada banyak faktor seperti nama spesies, negara asal, warna kulit, rasanya, warna isi dan kerajinannya berbuah.
  • Ada buah yang masak dengan warna kulit hitam, biru, merah, purple, kuning, berbelang hijau kuning dan hijau.
  • Harga anak pokok sepatutnya ditentukan oleh pasaran ekonomi yang bebas.  Semakin banyak penawaran akan menjatuhkan harga pokok dan sebaliknya semakin tinggi permintaan akan meninggikan harga.
Nasihat saya kepada anda yang baru hendak menanam pokok tiin ialah kenali nama spesies pokok tiin yang anda hendak beli dengan bertanya kepada penjualnya.  Mintalah nasihat kepada mereka (seller) mengenai penjagaannya.  Selidik dahulu jenis yang hendak dibeli, takut-takut anda terbeli pokok tiin yang takkan berbuah atau buahnya tidak akan masak!

Spesies Black Jack