Search This Blog

Saturday, March 25, 2017

Pindah Pasu

Pindah Pasu


Diantara persediaan-persediaan yang perlu dibuat untuk memindahkan anak pokok tiin dari cup ke dalam pasu atau dari polibeg / pasu kecil ke dalam pasu besar adalah seperti berikut:
  1. Sediakan pasu yang sesuai dengan tumbesaran akar yang sedia ada.
  2. Sediakan media poros seperti tanah topsoil, tanah kompos, tanah bakar, perlite dan sebagainya.
  3. Baja yang bersesuaian.
  4. Sebaik-baik waktu untuk berpindah pasu hendaklah pada waktu petang.
  5. Gunting polibeg dengan hati-hati agar tidak terkena akar.
  6. Jika pasu kecil atau cup dinasihatkan supaya terbalikkannya supaya dapat mengeluarkan anak pokok dengan selamat.
Anda mempunyai dua pilihan samada untuk memindahkan sekali dengan tanah asal yang ada di dalam polibeg/pasu kecil atau menanggalkan tanah yang sedia ada tersebut dari akar.  Saya lebih suka dengan pilihan pertama kerana ianya lebih selamat dan mudah.
Baja Nugget
Setelah tanah kompos yang poros dicampur dengan sedikit perlite, saya juga akan letak sebutir dua baja nugget ke dalam pasu sebagai cara untuk memberi nutrien yang cukup kepada anak pokok saya. Seterusnya setelah pindahan dibuat, saya akan menyiram anak pokok itu secukup rasa.



Monday, March 20, 2017

Keratan Yang Fresh

Keratan Yang Fresh
Keratan Yang Fresh
Keratan Yang Tidak Fresh
Keratan yang tidak fresh selalunya adalah keratan lama yang mudah dijangkiti kulat apabila diletakkan dikawasan gelap (container) walaupun telah dirawat dengan cecair anti kulat kerana sistem marfologi batang telahpun tidak berdaya bertahan lagi. 

Komponen struktur organ untuk pengangkutan dalam sistem marfologi batang adalah sangat penting dalam menentukan peratusan hidup sesuatu keratan apabila disemai untuk dijadikan anak pokok.

Oleh itu sebagai penanam pokok tiin perlu mengetahui serba sedikit tentang marfologi batang tiin yang terdiri dari kulit batang, empulur, kambium vaskular, zailem dan tisu phloem.  Kesemua organ-organ tersebut mempunyai peranan tersendiri dalam pertumbuhan pokok tiin anda.  Yang penting ialah memastikan kesemua organ-organ tersebut segar (fresh) ketika membeli. 
Sebelum membeli keratan apa jua jenis spesis pokok yang anda idam-idamkan, sila pastikan keratan yang anda beli tersebut hendaklah segar dan baru sahaja dikerat.  Sila pastikan anda melakukan perkara-perkara seperti berikut :
  1. Minta seller menunjukkan gambar keratan tersebut terutamanya pada bahagian rentas untuk melihat kesegaran organ-organ keratan tersebut.
  2. Belilah keratan yang baru sahaja di potong.  Jangan segan tanya seller dah berapa hari keratan yang anda ingin beli tersebut telah dikerat.
  3. Jangan lupa tanya seller samada pokok induk keratan tersebut berbuah atau tidak dan berpenyakit atau tidak.
  4. Pastikan seller telah merawat keratan yang anda beli tersebut dengan cecair anti kulat dan penggalak akar.
Pada pendapat peribadi saya, keratan yang baru dipotong mempunyai peratusan hidup yang tinggi kerana masih fresh.  Keratan yang berumur 0-3 hari adalah yang terbaik untuk disemai di dalam container.

Sunday, March 19, 2017

Gambarajah Keratan Pokok Tiin

Gambarajah Keratan Pokok Tiin

Gambarajah Keratan Pokok Tiin
Sebagai perkongsian dan rujukan umum mengenai keratan pokok tiin yang menjadi tanda tanya kepada newbie yang masih mencari-cari ilmu mengenai pokok tiin yang harganya agak mahal ini.  Sekurang-kurangnya gambarajah yang simple ini akan menjadi panduan berguna apabila menyemai benih atau keratan untuk dijadikan anak pokok.

Gambar ini diambil dari pokok tiin saya yang masih terpacak di atas tanah lagi untuk memberikan kedudukan sebenar dan gambaran jelas tentang:
  1. Bintil-bintil berderet yang terletak dibawah sempadan ruas ialah kawasan dimana akar-akar pokok tiin akan keluar.
  2. Tunas buah (mata ketam) dan pucuk ruas baharu akan tumbuh di tempat yang sama iaitu di celah (ketiak) antara batang dan tangkai daun.
  3. Kedudukan tangkai daun sentiasa berada dibawah sempadan ruas.
Semoga sedikit perkongsian ini akan memberi sedikit panduan dan gambaran kepada anda yang ingin mencuba menanam pokok tiin dari keratan.  Selamat mencuba! 


Saturday, March 18, 2017

Bila Buah Tiin Masak?

Bila Buah Tiin Masak?   
  
Kedudukan tangkai buah yang tegak
Sudah Ranum dan sedia untuk dipetik.

Kepada newbie sudah tentu debaran menanti buah tiin untuk masak adalah saat-saat yang amat dinanti-nantikan.  Maklumlah dah menunggu sekian lama tetapi masih belum masak-masak lagi adalah satu pengalaman yang boleh membuatkan kita hilang sabar.  Jadi apa tandanya yang menunjukkan buah tiin kita dah masak dan boleh dipetik?

Tidak dapat dipastikan berapa lama masa diambil untuk buah tiin kita untuk masak (ripe) kerana jangkamasa tersebut berbaza antara spesis ke spesis.. hasil dari pemerhatian saya mendapati purata jangkamasa ialah antara 90 ke 120 hari (3-4 bulan).  Apabila ianya mula berputik (mata ketam) buah tiin akan membesar dengan cepat dan akan kekal dengan saiz tersebut sehingga 90-120 hari.  

Antara ciri-ciri buah tiin bila masak dan sedia untuk dipetik:
  1. Tetiba mula berubah warna.  Dari hijau kepada merah misalnya. Hampir semua buah tiin bewarna hijau (belum masak) atau belang kuning hijau tetapi berubah warna ketika hendak masak. 
  2. Bila berubah warna inilah masa yang amat sesuai untuk anda membalut buah tiin anda untuk mengelakkan dari diganggu serangga perosak.
  3. Tangkai buah mulai lentok.
  4. Mulai lembut jika dipicit-picit (dilarang memicit-micit buah tiin jika anda melawat mana-mana ladang buah tiin milik orang lain hehehe).
  5. Jangkamasa dari mula ia berubah warna sehinggalah sepenuhnya masak adalah antara 4-7 hari sahaja.  (ketika ini lah buah tiin anda akan membesar lagi secara ajaib.)
  6. Apabila tangkai buah tiin anda telah sujud sepenuhnya maka ketika itulah saat paling baik untuk memetik dan makan.
  7. Ada juga buah tiin dalam tempoh 4-7 hari ini bila disentuh ianya akan gugur sendiri dan sedia untuk dimakan.
  8. Anda dicadangkan untuk petik dan simpan dalam peti ais selama sehari. jangan basuh dulu untuk menikmati buah tiin fresh dan juicy.
  9. Anda mempunyai pilihan juga untuk membiarkan buah tiin anda masak sehingga kecut ditangkai (jika ia tidak gugur).  Buah tiin yang masak kecut ini mempunyai nilai brixx yang sangat tinggi dan rasanya sangat-sangat manis ibarat kata isteri saya : manis dia itu teringat-ingat walaupun dah makan 2-3 hari lepas!
Anda memerlukan kesabaran yang amat tinggi sementara menunggu buah tiin anda masak.  All the best and good luck.. Selamat menikmati buah tiin fresh hasil tanaman anda sendiri.

Friday, March 10, 2017

Istilah-istilah Berkaitan Pokok Tiin

Istilah-istilah Berkaitan Pokok Tiin  

Pengumpulan istilah-istilah berkaitan pokok tiin ini adalah hasil dari pemerhatian dan mengumpul pendapat sifu-sifu pokok tiin dan terima kasih banyak-banyak diatas usaha-usaha mereka tersebut. Diantaranya ialah:

Fig = pokok tiin.


Common Fig = Dikenali dengan nama saintifik sebagai ficus carica (sesuai ditanam dinegara kita).

Spesis = Variety, Varietas, Jenis-jenis pokok tiin seperti Iraqi/Brown turkey/panachee dll.

Kultivar = Spesis tanaman yang dibiakkan secara selektif.

Grafting = Cantuman pokok tiin (kahwin). Samada kaedah V, T, Z dan bud dan lain-lain.

Callous = bintil-bintil putih akar.

Scion = Cebisan kulit pokok tiin yang akan digunakan untuk tujuan cantuman pokok tiin (grafting). Senang cakap ianya ialah mata tunas.

Rootstock = Pokok penanti iaitu Pokok induk yang akan digunakan untuk tujuan grafting.

Node = Ruas pokok. Tempat penyambungan di batang (selepas node akan ada daun dan buah atau tunas baru).

Internode = Panjang antara ruas ke ruas. Makin panjang antara ruas menandakan pokok yang sihat.

Rooting = Proses semaian keratan untuk mengeluarkan akar dengan menggunakan media. 

Bareroot - Pokok tiin yang ditanggalkan kesemua tanah dari akar secara total.

Hardening = Proses membiasakan anak pokok tiin dengan suasana persekitaran dan seterusnya dengan iklim cuaca.

Organik = Baja/racun yang diproses secara semulajadi dengan menggunakan bahan-bahan semulajadi seperti tumbuh-tumbuhan dan ada juga dengan campuran tinja-tinja yang diproses seperti tahi ayam, arnab, kambing dan lain-lain.

Chemical = Kimia. Baja/racun yg diproses dari bahan kimia contohnya baja AB dan malathion.

White flakes = Serpihan akar.

Cutting = keratan yg dipotong dengan panjang tertentu (selalunya 4 node) dari pokok induk untuk tujuan semaian.

Green House = Rumah Pelindung Hujan (RPH). berbumbung plastik UV yang telus cahaya / Dinding diperbuat daripada netting kalis serangga.

Self pollinating = Pokok tin yang boleh berbuah sendiri tanpa pendebungaan.

Media = Bahan asas atau perantara yang digunakan untuk menanam (tanah/cocopeat/peatmoss/perlite/sekam dll).

Poros = Media yang tidak menyimpan air atau menakung air.

Air layer/tut = Proses membungkus bahagian bawah node untuk keluarkan akar (tujuan membuat anak pokok baru).

Bunjut dan rebunjut = Proses tut kali kedua yang mana tut dimasukkan kedalam plastic untuk akar berkembang.

Pruning = Proses mencantas untuk hasilkan tunas baru (nota: cabang yang pernah berbuah tidak akan berbuah lagi. Perlu cantas untuk dapatkan cabang baru atau biarkan pokok meninggi dengan tunas-tunas baru).

Succer = cawangan kecil ranting / batang / ruas baharu yang parasitic yang menyerap banyak nutrien tanah dan baja tetapi tidak produktif.

Sunat = Buang pucuk daun teratas untuk membantutkan pertumbuhan.

Main crop = Buah utama (kedudukan di atas node dan sebelah daun).

Mata ketam = Putik buah.

Honey drop = Titisan madu yang keluar dari buah tiin apabila buah tiin telah masak.

Tangkai sujud = Menunjukkan buah tiin dah masak dan boleh dipetik.

Breba crop = Buah kedua.  Kedudukan di bawah node dan buahnya tidak akan sama macam main crop. Setakat ini breba tak pernah keluar di Malaysia.

Lobes = Keluk daun / Lekuk daun. Biasanya variety diterangkan dengan berapa lobe daun (Nak mudah faham kita gelar aje sebagai JARI DAUN).

DTK = demam tak kebah. Rindu dan asyik teringat kat pokok pagi petang siang malam.

Pokok tidur = Tiada pertumbuhan dalam jangkamasa yang agak lama.

FMV = Fig Mosaic Virus. Sejenis penyakit pada daun pokok tiin.

Karat Daun = Fig Rust. Sangat normal kepada pokok tiin. Sejenis penyakit daun pokok tiin yang tidak dapat dielakkan.

Nematod / borer = ulat-ulat perosak pokok tiin.

Koya = Bena putih atau Mealy Bug merupakan serangga perosak yang sering menyerang pokok yang berbatang lembut.

Penyakit kulat = Wet Mold, Phytophthora, Phytium, Hawar Pucuk, Fusarium, choanephora, botrytis limb blight dan lain-lain.